Selasa, 29 September 2009

Minta Gedembai Tutup Mulut!!!


Sah. Muktamad. Confirm!

Suka atau tidak, berkenan atau tidak, setuju atau tidak, Tan Sri Isa Samad telah diumumkan sebagai Calon BN di Pilihanraya Kecil Bagan Pinang 11 Oktober nanti.

Kalau kita benar-benar sayangkan parti (UMNO) jangan lagi kita pertikai atau turut memperlekeh pemilihan Tan Sri Isa Samad. Kalau kita benar-benar sayangkan parti (UMNO), kita mesti akur dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Tan Sri Isa Samad telah pun melalui proses hukuman bagi membasuh dosa atas kesalahan yang dilakukan. Sedangkan ramai lagi pemimpin yang melakukan kesalahan sama seperti yang dilakukan oleh Tan Sri Isa Samad, masih bebas dan memegang jawatan dalam parti. Tan Sri Isa lebih bersih dari mereka!

Bagi pembangkang, letaklah siapapun menjadi Calon BN di PR Badan Pinang, hatta bayi yang putih bersih dari sebarang dosa, mereka akan tetap memperlekeh dan habis-habisan menyerang hingga ke isu peribadi. Sedangkan ada calon mereka yang berlumuran najis dan dosa, tetap mereka puja dan memberi sokongan. Itu memang sikap pembangkang!

Pucuk pimpinan parti telah membuat keputusan. Berilah kepercayaan dan sokongan padu kepada pemimpin kita. Semoga tidak akan ada suara-suara sumbang dari kalangan ahli-ahli UMNO sendiri yang memperlekeh atau mempertikai kerana sebelum ini pun kita telah banyak bersuara memberikan pandangan. Semoga Gedembai-Gedembai dalam UMNO atau BN, tidak lagi membuka mulut; Jika boleh, bersin atau batuk pun jangan!

Kalau boleh tudung kita tudung. Kalau boleh tutup kita tutup. Jika Tan Sri Isa Samad kalah, bererti parti kita kalah.

Memo Rattus untuk MB

Rattus Argentiventer

Norvegicus terkejut beruk dan badannya terus terempon bila menyedari sesuatu melompat masuk ke dalam jerumun yang menjadi kediamannya anak-beranak. Darahnya berderau dan ekornya terkodek-kodek. Disangkanya ular tapi bila didapati yang melompat masuk ialah spesisnya juga, hatinya rasa lega dan menarik nafas panjang.

"Nak ke mana wahai
Cik Argentiventer?" sapa Norvegicus sebaik meyakini yang tercungap di depannya adalah sahabatnya Argentiventer.

"Saja nak ziarah kamu!" ringkas saja jawapan
Argentiventer dengan suara garau. Dia tahu, kawan di depannya masih lagi gelabah ketakutan.

Norvegicus diam. Misainya digerak ke atas dan ke bawah.

"Aku tenguk kamu
Norvegicus, makin gemuk la? Jangan-jangan kucing pun akan lari bila ketemu kamu?" kata Argentiventer separuh menyindir.

"Dah nasib kita Cik
Argentiventer oi! Sekarang ni sejak Kerajaan baru perintah negeri, rezeki kita murah! Makanan jenuh dan bersepah sana-sini!" jawab Norvegicus sambil menjilat kakinya yang berluting dengan selut.

"Betul juga kata kamu ya. Kerajaan sekarang tak macam Kerajaan dulu. Kita sekarang dibiar hidup bebas , baik di pekan atau di kota. Kita tidak lagi diusir macam dulu!" kata
Argentiventer, menyokong apa yang dikatakan oleh rakannya itu.

"Masa pemerintahan Kerajaan dulu, kita selalu dihambat sampai ke lubang. Dibubuh racun rata tempat sebab nak hapuskan zuriat kita. Tapi kerajaan sekarang ni ok la. Langsung tak ganggu langsung kehidupan kita." tambah
lagi Norvegicus dengan nada penuh serius.

"Iyalah sebab slogan Kerajaan sekarang ialah Adil dan Telus - Negeri Sejahtera, Nikmat Untuk Semua! Termasuklah kepada kita warga Rattus ni." sambung
Argentiventer dengan penuh semangat sambil mengodek ekornya.

"Syukurlah! Anak-pinak kita sekarang ni tak payah merayau jauh-jauh untuk cari makan. Longgokan sampah ada merata tempat. Parit dan longkang tak dicuci. Semak dan jerumun ada merata tempat. Semua untuk kemudahan kita mencari rezeki. Kalau anak-pinak kita tak reti juga nak cari makan, alamat dia orang saja nak mampus!" kata
Norvegicus sambil ketawa terkekeh-kekeh hingga terangkat-angkat ekornya yang kini menjadi ikutan fesyen rambut manusia remaja.

Argentiventer pun ikut ketawa terbahak-bahak sampai menitik air kencingnya yang hancing.

"Kalau macam tu, apa kata jika kita hantar memorandum mewakili seluruh warga Rattus di negeri ini kepada MB atas keprihatinan, kebijaksanaan dan kecekapan MB mentadbir hingga negeri menjadi sejahtera dan kita pun turut mendapat limpahan rahmat dan nikmatnya?" Tiba-tiba saja cadangan itu terpancut keluar dari mulut
Argentiventer. "Dan kita usulkan.... "

"Aku sokong! Aku sokong!" belum habis
Argentiventer berkata-kata, Norvegicus terloncat-loncat girang tanda memberi sokongan.