Ahad, 6 Disember 2009

Ayah Kirim Salam!

Saya Enoi, anak bongsu Ekeng. Saya tak pergi ikut ayah ke Nakhorn Sri Thamarat sebab saya sedang ambik Periksa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bila habis periksa nanti baru saya akan pergi ke sana.

Saya baru terima surat dari ayah. Ayah tulis jawi. Saya Melayu. Ayah saya Melayu. Emak saya juga Melayu. Tok dengan Tok Wan pun Melayu. (Tok Cai dll entahlah!) Walaupun saya keluar dari perut Melayu, tapi saya tidak pandai baca dan tulis jawi. Saya cakap Melayu pun kurang baik. Minta maaf! Saya tidak faham kenapa ayah tulis jawi, sedangkan Kerajaan Islam di Kedah sekarang juga tidak amalkan tulisan jawi.

Ayah suruh saya hidupkan Blog Cicit Tok Nadoq. Kerja cukup berat! Dulu Ayah eksyen sangat, langsung tak bagi saya ambik tahu apa yang Ayah tulis. Bila ayah sakit (ada batu besar dalam kepala) dan terpaksa pergi berubat ke Nakhorn Sri Thamarat, baru Ayah bagi kata kunci sama saya, suruh saya hidupkan Blog ni. Saya pun tidak pandai komputer. Jadi terpaksa saya minta tolong kawan-kawan bantu.

Ayah suruh saya kirim salam pada semua orang yang kenal dengan Ayah. Kata Ayah, dia macam biasa, tidak sakit tapi Ayah masih tidak sihat. Bomoh belum belah kepala Ayah untuk keluarkan batu besar. Bomoh mahu tunggu seorang lagi rakannnya dari Bangkok.

Dalam surat itu ada juga Ayah tanya, jadikah Pilihanraya Kecil Kota Seputeh. Calon PAS sapa? Calon BN sapa? Ada tak calon Bebas? Kalau boleh kata Ayah, jangan letak Datuk Abu Hassan. Dia surakhabar lama! Suruh dia hari-hari pergi main golf dengan boss lama dia. Tapi jangan menang dengan boss. Kalau menang, boss lama tidak mahu bawa dia pergi ke Gold Coast atau ke Macau. Di sana semua mainan ada!

Kacaulah ayah ni. Merepek bukan-bukan! Tanya macam-macam! Saya mana tau nak jawab semua itu. Panjang lagi surat Ayah. Saya tak larat hendak baca habis. Nanti kalau rajin, saya akan sambung! Tapi lebih dulu saya mesti jawab surat Ayah.

Selasa, 17 November 2009

Bye Bye Semua!

Ada dua tiga orang kawan dok (sms dan email) tanya, Ekeng hilang ke mana? Ghaib! Lama tak dengar suara. Lama tak telefon. Dok pi bertapa tang mana? Kena jaga Tok beranak lagi ka? Atau masuk pondok mengaji balik ka? Atau Ekeng kena masuk wad (bukan watt)?

Depa kata, dah lama tak nampak Ekeng. Dalam majlis besar tak pernah jerembab. Dalam majlis kecik tak pernah jeremuh. Kot pekan tak pernah serempak. Kot jalan tak pernah selisih. Kot dalam Blog pun tak jengoi-jengoi.

Sebenarnya la ni Ekeng tak buat apa satu. Ekeng tak pi ke mana. 24 jam Ekeng di rumah. Ekeng tak tau nak buat apa-apa. Ekeng jadi mayau. Buat yang tu rasa salah. Buat yang ni rasa tak betul. Pegang yang ni rasa tak betul. Pegang yang tu rasa tak kena. Jadi semua serba salah!

Ekeng sendiri tak tau pasai apa. Tak reti nak cerita. Nak kata sakit, Ekeng tak sakit. Makan lalu. Tidur lena. Bercakap boleh. Tulis pun boleh. Semua anggota badan masih ok. Lapar Ekeng makan. Mengantuk Ekeng tidur. Masuk waktu Ekeng sembahyang.

Cuma bila Ekeng balik kampung baru-baru ni, adik-beradik kata Ekeng sakit. Badan Ekeng seroh banyak. Depa kata Ekeng 'terkena'. Adik-beradik pun paksa ajak Ekeng pi berubat kat Siam, di sebuah kampung bernama Nai Dam (Ayer Hitam) dalam Wilayah Ligor. (Kalau Legor pun tak tau tang mana - no komen. Kena belajar banyak lagi sejarah bangsa!)

Rupa-rupanya di situ ramai lagi adik-beradik Ekeng. (Lebih 50% penduduk di situ berasal dari Kedah yang menjadi tawanan semasa Perang Kedah-Siam dulu. Depa ni dibawa dan didera dengan dicucuk rotan dan besi di bahagian keting supaya tak boleh melarikan diri - lebih dahsyat dari kunta-kunte yang dibawa dari Afrika ke Amerika dulu-dulu!)

Seronoknya pasai yang tua-tua di situ, masih lagi boleh cakap Melayu dialek Kedah. Masih makan gulai tumis ikan darat, makan pekasam, makan pajeri nenas, makan kerabu tembikai, makan pulut kukus ikan kering, hisap rokok daun, kunyah sireh pinang, dan lagi dan lagi.... macam Ekeng.

Balik pasai cerita Ekeng.... lepas jumpa bomoh, bomoh bagitau Ekeng mengidap sakit 'batu'. Tapi bukan batu karang. Bomoh kata, ada batu dok dalam kepala Ekeng. Besar mana tok bomoh tu pun tak tau. Lekat tang mana pun tak tau. Nak kena belah tenguk dulu baru tau.

Jadi lepas raya kerban ni, maka akan berangkatlah Ekeng anak-bini ke sana. Entah berapa lama bomoh tu ambik masa nak belah kepala untuk mengeluarkan batu tu, Ekeng tau tau. Mungkin sebulan. Mungkin dua. Mungkin tiga. Atau mungkin bertahun-tahun. WAllahu aqlam bissowab! Maka Ekeng pun tak tau bila pula boleh perhidup balik Blog ni. Pasai di sana, langsung putus hubungan. Tiada kemudahan internet macam tempat kita. Yang ada cuma surat khabar dalam Bahasa Siam.

Dengan penuh rasa pilu yang teramat sangat, dengan banjiran air mata yang bergenangan, Ekeng minta ampun dan minta maoh dari hujung rambut sampai hujung kuku kepada semua sekiranya terdapat kesalahan atau terdapat tulisan Ekeng selama ni yang menyentuh hati dan perasaan sapa-sapa.

Hingga jumpa lagi entah bila, sekian dan wassalam!

Ahad, 1 November 2009

MBAS kenakan bayaran letak kereta. Jangan marah....


Ekeng baru ternampak iklan di atas. Terus Ekeng tangkap gambar dan tunjuk kat kawan-kawan. Depa marah dan tuduh macam-macam. Kononnya Kerajaan PAS cakap lain, bikin lain. Depa ungkit-ungkit pasai manifesto PAS menjelang Pilihanraya lalu yang menjanjikan kesejahteraan untuk rakyat. Menteri Besar Kedah pun dok bercakap sampai berbuih mulut, nak melaksanakan pemerintahan yang adil dan telus pasai untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

Ekeng perasaan, masa kempen dulu PAS tak sentuhkan pasai tempat letak kereta percuma.

Punyalah marah sampai depa pi cari Manifesto PAS dan tunjuk kat Ekeng.

Ekeng tepuk bahu depa! Jangan marah, pujuk Ekeng! Sejak PAS ambil-alih Kerajaan Kedah, kan depa tak kena pun bayaran tempat letak kereta dalam kawasan MBAS? Lama jugak tu, dah lebih setengah tahun. OK la!

Bayaran tempat letak kereta dikenakan pasai nak bagi kesejahteraan kat rakyat juga. Duit kutipan tu nanti nak diguna untuk bayar upah orang sapu sampah; nak diguna bayar upah orang angkut sarap; nak diguna bayar upah orang kerat rumput; nak diguna bayar upah orang cuci parit dan longkang.

Nanti kalau sampah tak disapu; kalau sarap tak diangkut; kalau rumput tak dikerat; kalau parit dan longkang tak dicuci; maka hidup rakyat juga tidak sejahtera!

Lepas tu Ekeng terus bangkit. Ekeng tau... depa cukup merekam!