Man Tok Din cukup pantang mokalu dengar kawan-kawan sebut phrasa begini. Salah. Tak betul. Tak ikut nahu atau tatabahasa Melayu. Orang yang mengaku dirinya Melayu tak patut guna ayat begini. Bagi Man Tok Din, mokalu sebut turun, tak payah lagilah nak tambah ke bawah. Memang turun ertinya pergerakan sesuatu dari atas ke bawah. Mana boleh turun ke atas? Begitu juga dengan naik. Cukup mokalu sebut naik saja. Tak payah tak tambah ke atas. Sebab orang faham yang naik semuanya ke atas. Lojik juga pandangan Man Tok Din. Dia bukan profesor atau tokoh atau pakar bahasa. Man Tok Din cuma tukang gerau (tukang masak) di gedehoq masa musim kenduri. Oleh kerana orang kampung pun sekarang ni buat kenduri pakai kontrak atau 'catering', maka peranan Man Tok Din dan krewnya pun makin hilang. La ni orang lebih kenal Man Tok Din sebagai kaki gebang kedai kopi. Sentuh topik apa pun, agama, bendang, kebungetah, sawit, ekonomi atau politik, akta atau enekmen, dalam atawa luar negara, semua Man Tok Din boleh masuk daun. Tapi banyak juga yang Man Tok Din bercakap benda lojik. Macam istilah tadi, turun ke bawah, naik ke atas. Memang ada lojiknya. Lojik pun mokalu terbit atau keluar dari orang bawah, payah juga orang nak atas nak pakai.
Hari ni aku sekeluarga pi makan kenduri aruah di Merbok. Masuk hari ini, bermakna empat harilah bini aku gantung periuk pasai tiap-tiap hari ada kenduri. Minggu depan lagi jujuh. Maklumlah musim cuti sekolah la ni, semua pakat kalut nak buat kenduri. Maka tengahari tadi aku pi lah sembahyang Jumaat di masjid Kampung Bendang Dalam. Lepas sembahyang bagi salam kini kanan, ternampak kelibat macam Dato' Tajul Urus Md Zain, Ketua UMNO Bahagian Merbok yang sebelum Pilihanraya Kecil Bukit Selambau, pendapatnya sedikit kontroversi sebab mahukan calon UMNO yang bertanding. Memang sah, sebelum nak keluar masjid, aku nampak dia berjabat salam dengan ramai orang. Habis bersalam, aku nampak dia dah nak beredar. Sampai kat kaki lima masjid, bersalam pula lagi dengan jemaah yang memang dok tunggu Dato' Tajul. Aku perasaan, dekat setengah jam, baru dia dapat keluar dari masjid.
Dari masjid aku terus ke rumah kenduri. Lepas tu nampak Dato' Tajul datang. Tak sangka pula kenduri aruah pun dia nak datang! Lagi-lagi aku tak sangka, sebagai Ketua UMNO Bahagian, Dato' Tajul seorang diri. Ke masjid seorang diri. Pi makan kenduri seorang diri. Tanpa ada juak-juak, tanpa ada 'langau-langau' yang mengekori.
Lama juga Dato' Tajul kat rumah kenduri. Sakan bergebang dengan orang kampung. Ramai yang ambil peluang jumpa dia, berbisik macam-macam. Dari jauh aku dengar banyak juga perancangan Dato' Tajul untuk UMNO Bahagian Merbok. Tak kisahlah!
Pejam celik pejam celik, baru aku terfikir, ini agaknya pendekatan baru UMNO di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Najib yang mahukan UMNO turun ke bawah. Dalam konteks ni aku rasa, kalau kata UMNO turun, tanpa tambah perkataan ke bawah, rasa pelik, janggal dan boleh bawa makna lain. Mungkin aku kena rujuk balik dengan Man Tok Din. Aku nak bagitau kat dia, bahawa ada masa, ada ketika, kita boleh guna phrasa turun ke bawah. Contohnya dalam konteks program UMNO turun ke bawah.
Agak-agak Man Tok Din boleh terima dak?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tulisan cerminan diri. Kalau tulisan baik, diri pun baik. Kalau tulisan bagus, diri pun bagus.
Terima kasih atas kesudian membuat ulasan. Kalau ada kelapangan, berkunjunglah lagi ke blok saya.