Tulisan ini mulanya berupa komen aku sebagai respon terhadap tulisan berjudul Nizar, Lilin dan Fatwa di Blog Depa Kata. Komen tersebut kemudiannya aku tokok tambah untuk lebih sedap aku membacanya. Orang lain entah.
Di kampung aku dulu (sebuah perkampungan kecil di Kedah), terdapat lebih kurang 10 keluarga Cina. Mengikut cerita (sejarah), mereka ini berasal Tong San di negara Cina (entah wujud atau tidak tempat ini). Maka kami semua memanggil mereka Cina Tong San. Kebanyakan mereka datang dan menumpang (bukan menyewa) di tanah milik orang (Melayu) kampung aku.
Beginilah baik dan luhurnya budi orang Melayu sehingga tercipta pepatah "Dagang lalu nasi ditanakkan. Kera di hutan disusui, anak di rumah dibiar kelaparan."
Perhubungan mereka dengan orang kampung cukup erat, dari dulu hingga kini. Jika terdapat kenduri-kendara, mati atau sakit demam di kalangan orang kampung, mereka akan ziarahi. Begitu jugalah sebaliknya. Anak-anak mereka berkawan dan bercampur gaul dengan anak-anak Melayu. Malah sebahagian mereka bersekolah Melayu dan ada yang pandai membaca dan menulis Jawi. Dipendekkan sejarah, mereka ini hidup harmoni dengan orang Melayu bagaikan satu keluarga.
Al kisah terjadilah satu kematian di kalangan mereka. (Sebelum itu pun ada juga yang mati tapi ini yang aku cukup ingat dan meninggalkan nostalgia). Seperti biasa, selama tiga hari tiga malam seluruh keluarga dan rakan-sahabat 'meraikan' kematian mengikut adat dan budaya mereka.
Masuk hari yang ketiga, mendiang Si mati pun hendak dibawa ke jirat untuk acara pengkebumian. Sebelumnya ada rakan-rakan memberitahu, jika ada sesiapa yang sanggup bersama keluarga Si mati, dengan berpakaian 'baju guni' yang menutupi sebahagian muka dan turut serta menangis, akan diberi upah RM20 seorang (jumlah yang agak besar waktu itu).
Aku dan beberapa teman tergerak juga untuk ikut serta kerana gemarkan upah yang agak lumayan. Tapi hasrat kami terpaksa dibatalkan apabila seorang rakan yang agak tua menasihati kami bahawa orang Islam tidak boleh menyertainya. Biar pun masih kanak-kanak berhingus, walaupun begitu teringinkan wang RM20 namun tak ada seorang pun dari kami yang berani menerima tawaran tersebut.
Dari jauh kami beramai-ramai melihat upacara yang dilakukan. Terdapat juga beberapa orang dewasa, turut bersama kami.
Dalam riuh-rendah dan gemerencing gendang dan gong, serta raung tangis keluarga, mereka beramai-ramai berjalan mengekori kereta membawa peti mayat yang kami panggil 'long', kelihatan "Awang Pin" turut berada bersama-sama keluarga Si mati. Di tangannya terpegang 'buluh cina'. Awang Pin yang berperut boroi, seperti biasa hanya berseluar tapi tidak berbaju, berjalan sambil turut sama menangis dan meraung-raung.
Mulanya kami agak terkejut melihat Awang Pin. Bila memikirkan bahawa Awang Pin kurang siuman kerana menghidap 'down sindrom', kami hanya mampu tersenyum. Namun ada seorang dewasa, segara mendapatkan Awang Pin dan menariknya keluar. Awang Pin akur dan tidak membantah.
Mungkin walaupun kurang siuman, agaknya Awang Pin menyedari bahawa perbuatannya adalah salah dan kerana itulah ia dilarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tulisan cerminan diri. Kalau tulisan baik, diri pun baik. Kalau tulisan bagus, diri pun bagus.
Terima kasih atas kesudian membuat ulasan. Kalau ada kelapangan, berkunjunglah lagi ke blok saya.